Malam  tadi JR dan mem ke pasar malam berdekatan pasaraya Pacific, Alor Setar.  Ketika sedang menunggu pesanan makanan yang dibungkus untuk dibawa  balik, terdengar perbualan dua lelaki separuh umur dalam loghat Utara  yang pekat:
Lelaki A: Assalamualaikum, apa habaq, lama tak nampak, sihat ka?
Lelaki B: Habaq baik, oooii, makin sihat hang..Anak-anak apa habaq?
Lelaki A: Semuanya yang kat sini sihat, Samsul tu saja yang tak tau macam mana kat Jepun tu.
Lelaki B: Ya la, Samsul masih studi kat Jepun kan? Dia tak balik ka, dengaq kata loji nuklear depa meletup, ramai yang dah kena pindah?
Lelaki A: Kalau Kerajaan kita kata balik, balik la si-Samsul tu, ni Kerajaan kita diam saja, tak tau la aku...
Lelaki B: Memang la Kerajaan kita selalu slow...macam kes student kat Mesir dulu jugak...nak bunuh rakyat Malaysia kot!!
Nak bunuh rakyat Malaysia,  eh apa pasai dia kata macam tu? JR senyum dalam hati, tak kan Kerajaan  kita yang baik budi ni nak bunuh rakyat sendiri pula!! Tak lah, kata  hati JR, Kerajaan kita tak sekejam itu. Cuma bila kata Kerajaan kita slow  dalam apa-apa tindakan, memang itu betullah. Sebab tu Kondominium  Highland Tower setinggi 22 tingkat itu runtuh pada 1993, sebab Kerajaan  membiarkan bangunan di cerun bukit dibina, walaupun ia sangat bahaya.  Sebab itu juga  setiap tahun ada ada saja kapalterbang tentera jatuh  terhempas, setiap tahun banyak tragedi kemalangan bas express, sebab  kita slow dalam tindakan....
Dan  sekarang, bila banyak negara mula memindahkan rakyatnya kerana takut  terdedah kepada radiasi, Kerajaan kita masih lagi "tunggu dan lihat".  Kerajaan tentu tau radiasi boleh mengakibatkan kematian dan kesengsaraan  dan ia tak berlaku dalam sehari, sebulan atau setahun, tapi  bertahun-tahun...Dan selepas bertahun-tahun, wujudlah generasi 'mayat  hidup' seperti mangsa radiasi akibat letupan loji nuklear di Chernobyl,  Ukraine, seperti ini:
atau seperti ini:
atau seperti ini:
Dan  hari ini kalau korang baca dalam akhbar, apa Menteri Luar kita cakap  mengenai keadaan 5,000 rakyat Malaysia di Jepun? Baca apa yang ditulis  dalam akhbar hari ni:
Kuala Lumpur - Kerajaan buat masa ini tidak bercadang untuk memindahkan segera warganegara Malaysia di Jepun, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Kejadian  letupan (loji nuklear) itu telah mencetuskan kebimbangan berlakunya  kebocoran berikutan gempa bumi dengan kekuatan skala 9 pada skala  Richter pada Jumaat lalu yang mengakibatkan terjadinya tsunami setinggi  tujuh meter. 
Beberapa negara termasuk China, Rusia dan Perancis sudah mula memindahkan warga mereka keluar dari Jepun. (sumber: Kosmo)
Semalam  JR ada terbaca e-mail seorang kawan dalam satu blog. E-mail itu dari  seorang rakyat Malaysia yang sedang berada di Jepun. Katanya suasana  panik sedang menghantui rakyat Jepun kini, kerana mereka takut letupan  loji nuklear itu akan menyebabkan radiasi dan menjejaskan kesihatan  mereka. Dia juga memberitahu ada pelajar Malaysia menyatakan  seorang konsul Malaysia di Tokyo memberitahu Kerajaan  Malaysia tidak mempunyai wang yang cukup untuk membawa keluar rakyat  kita di Jepun kerana banyak wang telah digunakan untuk membawa pulang  pelajar Malaysia dari Mesir dahulu.
Entah  betul atau tak betul kandungan e-mail itu tak taulah. Cuma jika  peruntukan kewangan yang menjadi alasannya, JR sangat tak setuju, sebab  bagi JR, keselamatan rakyat kita lebih dari segala-galanya. Kerajaan  selalu bangga kedudukan kewangan kita sangat kukuh, tapi bila  negara-negara luar mula membawa pulang rakyat mereka dari Jepun, kita  masih dengan sikap "tunggu dan lihat", seperti memang kita betul-betul  sengkek tak ada duit. Lagi pun tak logik Kerajan tak ada wang, kerana  bukankah berbilion ringgit berjaya dikutip semasa kempen bayaran saman  trafik baru-baru ini? 
Atau  Kerajaan memang sengaja nak simpan duit untuk kempen pilihanraya  Sarawak yang perlu pakai banyak duit yang dikatakan akan diadakan pada  bulan hadapan?
