Orang  politik Malaysia biasanya berperangai lebih teruk dari budak-budak.  Kalau budak-budak hari ni bertekak, esok pasti baik balik. Itu tandanya  budak-budak memang matang, dapat melupakan sengketa sekejap saja.
Tapi  orang politik berbeza, puak parti A benci sungguh dengan puak parti B  dan begitu juga sebaliknya. Apa yang A buat semuanya salah bagi B, apa  yang B buat semuanya salah bagi A.
Mereka bukan saja enggan berdamai, duduk semeja pun jarang sekali kelihatan. Pernah korang nampak Perdana Menteri makan bersama  Menteri Besar Kelantan sambil ketawa riang atau Timbalan Perdana Menteri  berpelukan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang? Tak pernah! Mereka bagai  anjing dengan kucing, asyik menyalahkan satu sama lain, tak pernah  belajar jadi cerdik dan matang macam budak-budak yang hari ni bergaduh, esok berdamai.
Tapi  dalam pilihanraya kecil Merlimau, tiba-tiba orang politik boleh jadi  baik pula, boleh bekerjasama. Korang tengoklah gambar di bawah ni,  mereka sama-sama mengusung keranda: 
Calon PAS,  Yuhaizad Abdullah, (tiga kanan) dan juga calon BN Roslam Ahmad  (empat kanan) mengetepikan fahaman politik  untuk menghormati jenazah seorang pengundi  Allahyarham Ali Bashah, 63, apabila mereka sama-sama mengusung keranda  jenazah Allahyarham Ali ke Tanah Perkuburan Islam untuk dikebumikan di  Kampung Kilang Berapi, Jasin, petang tadi (Rabu). Allahyarham meninggal dunia akibat  sakit jantung.
Kan  ke baik jika selalu begini - bekerjasama untuk kesejahteraan rakyat?  Ini tidak...asyik bergaduh mengalahkan budak-budak, menyalahkan pihak  yang satu lagi saja siang malam,  hingga mata selalu rasa malas nak  tengok berita TV kerana asyik dengan berita cabar mencabar, hentam  menghentam, salak menyalak, ngiau mengiau, macam anjing dengan kucing!
Harap-harap  adegan dan foto seperti ini tidak muncul sekali dalam tempoh lima tahun bila  tiba pilihanraya saja, tapi selalu diamalkan dalam kancak politik  Malaysia yang seringkali nampak melucukan ini...

