PETALING JAYA: Pengacara Awal Ashaari mengakui dia tidak pandai bermain bola sepak seperti kebanyakan lelaki lain dan tidak malu untuk menceritakan hal tersebut kepada umum. Bagaimanapun, Awal berkata, dia tidak sangka menerima tawaran mengendalikan pertandingan realiti Tiger Futbal Starz musim kedua berganding Erra Fazira yang lebih mahir.
"Memang saya akui saya seorang kaki bangku. Justeru itu dari segi teknikal, saya akan serahkan kepada Erra Fazira. Tugas saya pula lebih kepada mengintip pergerakan peserta-peserta serta menjadi abang kepada mereka jika mempunyai masalah dalaman. Apa-apapun, sejak saya mengendalikan program ini, sedikit sebanyak saya turut mempelajari teknik dan cara pengiraan permainan bola sepak," katanya.
Tambah Awal, peserta-peserta turut mengenakannya dengan menendang bola kearah Awal dan pada waktu itu, Awal agak terkial-kial untuk menendang semula bola tersebut.
Selepas kejayaan pencarian bintang Tiger Futbal Starz tahun lalu, kini musim kedua bakal menemui penonton pada setiap hari Ahad, pukul 6.30 petang bermula 17 April ini menerusi saluran Astro Ria. Erra yang juga mengendalikan program tersebut pada musim pertama gembira digandingkan dengan Awal kerana dapat membahagikan tugas masing-masing.
"Program ini lebih kuat dan mantap kerana tugasan dibahagikan kepada dua. Kemunculan Awal juga memudahkan para peserta berkongsi masalah dalaman yang mereka hadapi. Biasalah, kalau dengan wanita, mereka agak segan sedikit. Bayangkan, bila saya ada, semua macam tak bersuara dan bila saya tak ada, riuh jadinya. Bagaimanapun saya tidak berkecil hati dengan hal itu kerana saya faham situasi mereka yang memerlukan seorang abang dan Awal adalah orang yang paling sesuai untuk mereka," ujarnya.