MELAKA - Penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng, dihukum penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, Selasa kerana kesalahan dadah.
Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas Ameng, 42, mengaku bersalah terhadap kesemua tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pindaan pertama, Ameng dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah memiliki kanabis seberat 105.90 gram dalam sebuah bilik hotel di Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, Bandar Hilir di sini pada 5.20 petang 1 Februari lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2), Akta yang sama dan dibacakan bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang dari lima tahun dan sebatan tidak kurang dari 10 sebatan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ameng dihukum penjara dua tahun setelah mengaku bersalah pada waktu, tempat dan tarikh yang sama, memiliki dadah methamphetamine seberat 0.22 gram. Dia didakwa mengikut Seksyen 12, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3), akta yang sama dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi satu lagi pertuduhan, Ameng dihukum penjara satu tahun dengan dua tahun pengawasan polis selepas dia mengaku bersalah melakukan pemberian diri sendiri dadah jenis methamphetamin, di pejabat siasatan jenayah narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini, pada 6 petang 1 Februari lepas.
Hakim Abu Bakar memerintahkan hukuman penjara bagi tiga pertuduhan tersebut berjalan serentak bermula tarikh dia ditangkap pada 1 Feb lepas, bermakna Ameng menjalani hukuman penjara sebanyak lapan tahun dan 10 sebatan serta dua tahun pengawasan oleh polis.
JR: JR memang sangat meminati kumpulan Spring terutama lagu berhantu mereka "Sampai Hati" yang hingga kini masih selalu kedengaran berkumandang di corong radio.
Cuma bila Ameng dihukum penjara dan disebat, jangan pula ada yang berkata sampai hati mahkamah menjatuhkan hukuman seberat itu kepadanya. Walau apapun, undang-undang tetap undang-undang....